Daripada Ummu Salamah, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Bahawasanya aku adalah seorang manusia dan sesungguhnya kamu semua telah membawa pertelingkahan kepadaku. Barangkali sesetengah kamu ada yang lebih cerdik mengemukakan hujah serta alasannya daripada sesetengah yang lain. Maka, aku akan menghukum mengikut apa yang aku dengar. Maka sesiapa yang telah aku putuskan untuknya mendapat kemenangan, sedangkan ia mengetahui bahawa itu adalah hak kepunyaan saudaranya, maka sesungguhnya aku tentukan untuknya sepotong daripada api neraka.” (Riwayat Muttafaqun A’laih) 

Janganlah menghukum suatu perkara dengan tidak mengikut hukum Islam sedangkan kamu mengetahui kerana itu menjadikan kamu akan dihumbankan ke dalam api neraka. 
Jauhkanlah sifat menyakiti hati manusia yang menyebabkan Allah SWT murka. Buatlah keputusan mengikut apa yang dibenarkan Allah SWT dan jangan buat keputusan mengikut apa yang tidak diredai Allah SWT. 



Rasulullah SAW ialah seorang manusia. Harus bagi dirinya sifat manusia kecuali apa yang dipelihara Allah SWT daripadanya. Rasulullah SAW terpelihara daripada tersalah dalam menyampaikan risalah, termasuklah akidah, syariat serta terpelihara daripada perbuatan haram dan keji. 

Adil jatuhkan hukuman 

Seorang hakim menjatuhkan hukuman berdasarkan keterangan serta hujah yang dapat diterima seperti saksi, sumpah dan lain-lain. Dia tidak boleh menjatuhkan hukuman berdasarkan pengetahuannya. 
Hukuman yang dijatuhkan oleh hakim tidak menghalalkan yang haram walaupun hukum itu dilaksanakan pada zahir. Oleh itu, sesiapa yang memperoleh sesuatu melalui perintah mahkamah sedangkan dia mengetahui sesuatu itu bukan haknya, maka tidak harus ia mengambilnya. 

Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda: “Jika diberikan kepada manusia apa saja yang didakwa oleh mereka tentunya akan mendakwa beberapa orang lelaki akan harta suatu kaum dan darah mereka tetapi (dalam hal ini diperlukan) saksi atas orang yang mendakwa dan sumpah atas (orang) yang ingkar (yang terdakwa).” (Riwayat al-Baihaqi) 

Punca sengketa yang sering terjadi dalam masyarakat adalah daripada harta benda hingga membawa kepada pembunuhan dan pertumpahan darah. 

Semua ini bermaksud untuk memperoleh dan menguasai harta benda sebanyak mungkin biarpun dengan cara yang kotor dan keji. Oleh itu, Islam menyuruh agar berhukum dengan adil.